3 Rahsia Keajaiban Ramadan
June 27, 2016 Ahmad Nazri Yusof Ahmad Nazri Mohd Yusof, Berita Harian, BH, pesona d'zahra
BULAN Rahmat, bulan pengampunan dan bulan pembebasan dari api neraka datang lagi. Syukur tidak terhingga kita kepada ALLAH SWT kerana masih memilih kita bertemu dengan bulan yang ditunggu dan dirindui, bulan Ramadan. Adalah lebih baik kita memulakan bulan Ramadan dengan memohon maaf kepada ibubapa, suami kepada isteri, isteri kepada suami, jiran-jiran, kaum keluarga, sahabat dan musuh kita. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata bulan Ramadan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirnya adalah kemerdekaan (dilepaskan) dari neraka (Riwayat Imam Muslim). Bulan Ramadan terbahagi kepada 3 fasa iaitu 10 hari pertama adalah fasa rahmat, 10 hari kedua sebagai fasa keampunan, manakala 10 hari terakhir adalah fasa kemerdekaan (terlepas) dari api neraka.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 183). Bulan Ramadan merupakan bulan berkat, bulan rahmat, bulan keampunan serta mempunyai banyak kelebihan. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadah bagi mencari keredhaan Allah SWT sepanjang Ramadan ini, dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni segala dosanya yang telah lalu. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya (HR Bukhari).
Bulan Ramadan adalah bulan kerahmatan, bulan Allah menunjukkan sifat pengasihnya sehingga dihentikan seksa kubur ke atas umat Islam dan ditutup pintu-pintu neraka dalam bulan ini. Rahmat Allah, yang Allah turunkan ke dunia ini hanyalah satu per seratus sahaja, dengan 1 bahagian yang diturunkan inilah menjadikan makhluknya bersifat kasih mengasihi antara satu sama lain. Rahmat Allah SWT juga diperlukan utk melepaskan kita daripada azab-azab kubur. Ketika berada di padang Mahsyar, kita hanya akan mendapat perlindungan dengan rahmat daripada Allah SWT (Arash Allah) malah dengan rahmat –Nya juga, urusan timbangan di Mizan akan dipermudahkan . Oleh itu, dalam bulan Ramadhan, umat Islam diseru agar memburu kasih sayang (Rahmat) Allah SWT dengan memohon supaya diberikan kesudahan (mati) yg baik (zahir dan rohani).
Bulan Ramadan adalah bulan keampunan dan Allah SWT menunjukkan sifat pengampunnya melalui beberapa tawaran pengampunan dosa kepada mereka yang berpuasa dengan ikhlas dan penuh keimanan, mendirikan sembahyang solat sunat tarawih, menghidupkan malam Lailatul Qadar dan bertadarrus. Jangan putus asa dari rahmat Allah, kerana rahmat Allah itu lebih besar dari langit dan bumi. Malah, menerusi perbincangan bertajuk ‘Tiga Rahsia Ramadan’, Ustaz Muhammad turut menyatakan bahawa bagi meraih pengampunan daripada Allah SWT, amalan istighfar amat digalakkan serta melakukan amalan-amalan lain sepeti berwuduk dan menghadiri majlis-majlis ilmu.
Akhir sekali, rahsia di sebalik bulan Ramadan adalah pelepasan daripada api neraka. Bagi mengekalkan rahmat dan pengampunan dari Illahi , kita perlulah berusaha memastikan segala urusan yang berkaitan rukun Islam dan Iman telah kita laksanakan sebaik mungkin . Misalnya, tidak mensyirikkan Allah SWT, menunaikan zakat, bersolat , berpuasa dan lain-lain. Dalam mengejar barakah dan pengampunan Allah SWT, kita juga dituntut untuk menjauhi diri daripada perbuatan haram, melunaskan hutang dengan individu atau pihak-pihak berkaitan serta menyucikan dosa yang dilakukan dengan amalan taubat.
Puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu. Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Mudah-mudahan Ramadan yang disifatkan sebagai bulan Rahmat, Pengampunan dan Pembebasan daripada api neraka akan menjadi realiti yang terbaik untuk kita muhasabah diri menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik untuk persediaan alam kubur dan akhirat yang tidak dapat diketahui bahagiannya untuk kita.Pada masa yang sama, marilah kita memanjatkan doa agar Allah SWT terus memberi hidayah kepada golongan yang masih lagi enggan menerima kedatangan bulan Ramadan dengan hati yang terbuka serta melaksanakan ibadah berpuasa.
Ramadan : Rumah Penuh Rahmah
June 24, 2016 Norhayati Paradi Berita Harian, BH, Norhayati Paradi, Usrah Nurani
RASULULLAH SAW bersabda, “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan. Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlomba-lombanya kamu pada bulan ini dan membanggakan kalian pada para malaikat-Nya. Maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari kalian. Karena orang yang sengsara adalah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat At-Thabrani).
Ramadan itu adalah bulan perubahan. Umpama bertemu lombong emas. Maka individu yang bijak akan berhenti, melombong dan seterusnya meneruskan perjalanan mengembangkan hasil emas kepada sesuatu yang lebih bermanfaat dan berpanjangan sifatnya. Berbeza pada individu yang kurang bijak, waimah bertemu tapak perlombongan yang lumayan tidak akan diendahkan dan hanya meneruskan perjalanan dengan bekalan yang hanya cukup-cukup makan. Tetapi ada pula individu yang berhenti tetapi hanya sekadar melihat dan perjalanannya terhenti di situ sekadar pemerhati dan tidak berganjak meneruskan perjalanan.
Usrah Nurani Jumaat lepas bersama naqib Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Jofree menerangkan bahawa saat tibanya Ramadan, suburkan semangat ‘stop and go’. Ada perkara perlu di kurangkan malah ada yang perlu di hentikan. Namun pada masa yang sama ada perkara yang di galak untuk dilakukan malah di perbanyakkan. Usrah lebih bermakna apabila di tambah dengan kehadiran pasangan suami isteri Saudara Redza Shah Azmeer dan Irma Hasmie sebagai rakan usrah dengan meluaskan lagi makna Ramadan buat pendengar IKIMfm untuk memanfaatkan Ramadan dengan memberi makna Ramadan buat keluarga.
Tanpa disedari, Ramadan sudah memasuki fasa kedua. Telah menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam untuk meneruskan ibadah dalam bulan mulia ini apatah lagi belum pasti akan bertemu Ramadan pada tahun hadapan. Justeru, peluang dimanfaatkan semua sebaik mungkin bukan secara individu tetapi cuba di raih bersama keluarga.
Sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadith ini sepatutnya dihayati dengan penuh rasa insaf bahawa amalan pada bulan Ramadhan ini haruslah ditunjangi dengan amalan penuh keimanan, kesedaran dan penuh pengharapan dalam usaha meraih reda Allah SWT seterusnya mencapai objektif puasa agar menjadi insan yang bertaqwa.
Namun, amat sayang jika amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan ini hanya dilakukan berseorangan dan melupakan ahli keluarga . Sepatutnya, keluarga harus dipupuk dengan sifat mencintai masjid, budaya membaca al-Quran, apatah lagi bulan yang penuh dengan “tawaran istimewa” kepada hamba-hambaNya dalam usaha memburu syurga Allah.
Allah juga telah mengingatkan agar hambaNya menjaga dan mengingatkan ahli keluarga supaya membuat apa yang disyariatkan oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang olehNya sebagaimana firman Allah SWT mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mengingkari (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dengan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (Surah At Tahrim, ayat 6).
Adalah menjadi tanggungjawab ketua keluarga, ataupun sebagai ahli keluarga agar saling mengingatkan antara satu sama lain dari sebarang perkara yang boleh mengjerumuskan diri ke dalam api neraka. Budaya menghidupkan amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah harus ditekankan khususnya pada “madrasah” Ramadan ini. Selaku Umat Baginda nabi seharusnya Baginda menjadi suri teladan dalam hal ini yang mendidik ahli keluarganya ketika di bulan Ramadan, sebagaimana hadis yang bermaksud:“Adalah Rasulullah SAW apabila tiba 10 malam terakhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ini membuktikan bahawa Rasulullah terlebih dahulu menjadikan ahli keluarga sebagai keutamaan malah berkongsi sesama ahlinya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan. Ini adalah satu contoh tauladan yang baik dari Rasulullah yang mungkin jarang dilakukan oleh masyarakat kita. Mereka menyangka cukup bagi suami dan isteri, ayah dan ibu sahaja untuk melakukan ibadah sedangkan anak-anak mereka dibiarkan membuang masa menonton televisyen, meluang masa yang sia-sia bersama rakan-rakan di kedai kopi, di kota raya, lebih teruk lagi malam-malam mereka diisi dengan keseronokan seolah-olah tiada beza malam-malam yang punya Lailatul Qadr ini dengan malam-malam di bulan yang lain.
Maka, kehadiran Ramadan ini semoga menjadi titik tolak pembentukan keluarga yang benar-benar sakinah, mawardah dan Rahmah.
Ramadan, Syaitan Dirantai, Kenapa Maksiat Masih Ada?
June 20, 2016 Ahmad Nazri Yusof Ahmad Nazri Mohd Yusof, Berita Harian, BH, pesona d'zahra
APABILA masuk bulan Ramadan, dibuka semua pintu langit, ditutup semua pintu neraka dan dirantaikan segala syaitan. Namun suasana maksiat masih wujud pada bulan Ramadan. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan pada bulan mulia ini. Nabi Muhammad SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan. Selain itu, terdapat juga ulama yang menyatakan bahawa bulan ini dinamakan ‘Ramadan’ (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghapuskan dosa. Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan dibelenggu. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan Ramadan. Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat pada bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan.
Jin pertama dicipta ialah “Jaan”, sebagaimana manusia pertama dicipta ialah Adam. Dari keturunan Jaan ini kemudiannya lahir satu Jin bernama “Azazil”. Azazil ini kemudiannya menderhaka kepada Allah lalu dikenali sebagai “Iblis”. Keturunan atau suku sakat Iblis ini dipanggil Syaitan. Sementara jin boleh jadi Islam dan Kafir, namun Syaitan selamanya adalah dari bangsa jin yang kufur dan menderhaka kepada Allah. Mereka akan terus melakukan kerosakan dan hasutan sepanjang hayat mereka. Jadi yang dirantai sepanjang bulan Ramadan ini hanyalah para syaitan, sedangkan para Jin masih bebas menjalankan tugas seperti biasa. Manusia atau Jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan. “Minal jinnati wan naas” dalam Surah An-Naas menyatakan bahawa para penghasut yang timbul tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri daripada bangsa Jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah merujuk kepada Jin, tetapi kepada manusia dan Jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu. Mengapa digunakan istilah ‘dirantai atau dibelenggu’? Hal itu bagi menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan Jin sepanjang bulan Ramadan ini tidak bebas sepertimana dalam bulan-bulan selain Ramadan. Misalnya, sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita lalukan pada bulan-bulan selain Ramadan ialah seperti makan secara berlebihan, mengumpat, berfikiran jahat dan sebagainya. Tetapi apabila tibanya bulan Ramadan dan kita sebagai umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti, dan pada malam hari pula kesempatan kita untuk keluar dari rumah tidak begitu banyak. Hasilnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu, terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.
Mengikut hadis, syaitan akan dirantai sepanjang masa.. Tetapi kenapa masih ramai manusia yang melakukan maksiat dalam bulan ini? Suatu persoalan yang sering kedengaran dalam masyarakat. Antara jawapan yang boleh diberikan ialah walaupun syaitan telah dirantai tetapi masih ada satu lagi perkara yang sering mendorong manusia ke arah maksiat iaitu nafsu. Walaupun nafsu ada baik dan buruknya tetapi nafsu manusia umumnya adalah lebih cenderung untuk melakukan maksiat. Nafsu lebih senang atau mesra dengan perkara-perkara yang jelek dan jijik. Ada juga ulama yang menyatakan bahawa ianya berlaku disebabkan manusia telah biasa dengan maksiat itu sebelum datangnya bulan Ramadan. Ada ulama yang menggambarkan keadaan itu seperti air di dalam gelas dan sudu. Sudu digunakan untuk memusingkan air tersebut. Setelah lama sudu itu memusingkan air, maka air menjadi biasa dengan pusingan itu.
Adakah air itu akan terus berhenti berpusing atau terus berpusing walaupun sudu telah tiada. Tentu sekali air itu akan terus berpusing walaupun sudu telah tiada. Begitu jugalah dengan manusia pada bulan Ramadan. Mereka akan terus melakukan dosa yang telah biasa dilakukan oleh mereka walaupun syaitan telah dirantai.
Kesimpulannya, hanya Allah SWT yang tahu maksud tepat akan pernyataan “syaitan-syaitan dirantai”. Namun begitu, sekurang-kurangnya kita sebagai umat Islam mestilah meyakini bahawa memang benar “para syaitan dirantai”. Dan tidak menjadi kesalahan pula jika umat Islam berusaha untuk mengkaji maksud “para syaitan dirantai” itu, sebagaimana yang sudah dilakukan oleh para ulama terdahulu.
Hikmah Dibalik Kefardhuan Puasa
May 27, 2016 Norhayati Paradi Berita Harian, BH, Norhayati Paradi, Usrah Nurani
“Ya Allah berkati hidup kami di bulan Rajab ini, dan juga di bulan Syaaban, serta panjangkan umur kami hingga bulan Ramadan”. Tiada sesuatu yang lebih diinginkan dalam kehidupan selain kebarkatan terutama saat bulan Ramadan yang di rindui mula menggamit.
Memasuki bulan Syaaban, pastinya debarannya kian terasa. Jika di semak di dalam kamus kehidupan bangsa Arab dahulu, ketika tibanya Bulan Syaaban maka akan berpecah-pecah bertebaran bangsa arab ini dengan membawa timba dan bekas-bekas untuk mencari sumber air. Sinario ini berulang saban tahun tika hadirnya bulan Syaaban ini. Situasi tersebut berlaku atas kesedaran bahawa selepas daripada bulan ini akan dating satu keadaan yang sangat panas. Justeru, bersama kehadiran suhu yang panas terlampau itu akan mengakibatkan mata-mata air mengering dan anak-anak sungai akan kontang yang akan mematikan sumber air mereka. Oleh itu, walau apa juga keadaan diri saat itu, mereka akan sehabis usaha mendapatkan bekalan air yang cukup bagi menampung keperluan merekan kala tibanya saat kering kontang itu. Lantas, mereka menamakan bulan itu sebagai Syaaban yang bermaksud berpecah-pecah atau berserakkan mencari dan menggumul sumber air sebagai persediaan menempuh satu bulan yang bersangatan panasnya.
Dengan semangat itu, Usrah Nurani Jumaat lalu mengetengahan kisah dan di kaitkan isu persediaan tersebut dengan keadaan hidup manusia masakini. Naqib; Ustaz Zul Ramli M. Razali telah mengajak seluruh rakan usra termasuk yang berada di konti IKIMfm iaitu Saudara Nasri Nasir dan artis Farrah Asikin untuk menyemak bersama kebersediaan diri mental dan fizikal dalam usaha menempuh bulan yang panas bukan sekadar yang terasa pada zahir namun penyumbang bahang panas buat nafsu masing-masing. Oleh itu, ia mengundang persediaan rapi dari sudut fizikal , mental dan spiritual untuk memastikan matlamat mengecap redha dan pengampunan Allah SWT di raih selepas Ramadhan di tinggalkan nanti. Maka, amalan persediaan bangsa Arab yang dahulu itu boleh di adaptasi dalam situasi hari ini dengan mencari dan menggumpul sebanyak mungkin sumber keberkatan itu sepanjang syaaban ini sebagai langkah persediaan menyambut Ramadan nanti bagi memastikan matlamat yang di letak tercapai.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW : “Dinamakan Syaaban (berserak-serak) kerana padanya terdapat amat banyak kebajikan yang berserak-serak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.”
Sebagaimana resam keterujaan orang-orang soleh, mereka sudah mula mempersiap diri sedari masuknya Rabiulawal iaitu 6 bulan sebelum tibanya Ramadan. Persiapan dan persediaan tersebut pastinya membawa kepada menghayatan yang benar-benar khusyuk saat berada di dalam Ramadan nantinya. Sehinggakan, ketika Syawal bertandang mereka masih mengenang-genang Ramadan dengan penuh rasa nostalgik sehingga terus terbawa-bawa doa memburu lailatulqadar walau ia telah berlalu pergi. Ia berlanjutan selama 6 bulan berikutnya. Begitu besar Ramadan bagi mereka yang memahaminya.
Ramadan tidak hanya hadir dalam bentuk teknikal berpuasa semata. Ramadan hadir penuh dengan hikmah bagi manusia yang benar-benar faham tetak duduk tuhan dalam hidup mereka. Sesungguhnya erti pada sesuatu terletak pada pemahaman yang jitu tentang sesuatu itu. Apakah puasa dan apakah hikmah di balik hukum wajib berpuasa?
Allah Taala berfirman mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan kepada kalian puasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertakwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 183). Hukum berpuasa telah ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru, walau puasa itu wajib namun ia bukanlah ibadah yang sewajarnya di laksanakan dengan penuh keterpaksaan. Perlu kepada penghayatan kerana di balik setiap perintah pasti ada sumber kekuatan yang Allah ingin berikan kepada diri individu yang melaksanakannya. Sumber kekuatan ini bukan dari sudut fizikal malah meliputi spiritual, emosi dan rohani.
Dengan berpuasa bukan sekadar menyalur sumber kesihatan tubuh atas kerehatan dan penambahbaikan system tubuh malah jauh daripada itu ia memberikan rasa lazat pada iman dan ketenangan diri. Justeru, selagi masih di dalam bulan Syaaban ini maka carilah ilmu sebanyak mungkin untuk mengenal Ramadan agar tibanya bersambut dengan syukur dan pengakhirannya menatijahkan diri yang lebih akur.
Puasa Menjaga Deria
June 22, 2015 Hajah Mazlina Ismail Berita Harian, BH, mazlina ismail, pesona d'zahra
ALLAH SWT mencipta manusia dengan sempurna. Allah menyempurnakan kejadian manusia itu lengkap dengan deria iaitu mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan anggota lain sebagai rahmat untuk hambaNya.
Allah yang Maha Pengasih menciptakan anggota badan untuk kemudahan dan kesenangan kita melaksanakan segala urusan di dunia ini. Kita diberikan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk berbicara, tangan untuk memegang, kaki untuk melangkah dan banyak lagi.
Mereka yang dikurniakan kesempurnaan tubuh badan dan anugerah-anugerah deria ini sering terlupa untuk menghargainya sehinggalah adakalanya nikmat itu ditarik dari mereka, barulah dapat kita menilai betapa besarnya nikmat deria yang diberikan oleh Allah SWT. Merenungi kehebatan segala deria yang dikurniakan kepada kita iaitu mata, telinga, lidah, dan hidung akan membuatkan kita menjadi hamba yang bersyukur.
Dalam surah Fussilat (41: 20) Allah SWT berfirman; “sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran, penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”
Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bagaimana anggota badan manusia sendiri seperti lidah, tangan, kaki, mata, telinga dan kulit akan menjadi saksi di atas perbuatan tuannya sewaktu hidup di dunia.
Menghadapi bulan Ramadan dimana umat Islam menjalani ibadah puasa, kita perlu sentiasa peka bahawasanya puasa tidak hanya menahan diri dari makan, minum dan hubungan suami-isteri tetapi ibadah puasa sewajarnya menjadikan kita berhati-hati dalam menggunakan deria yang dikurniakan Allah kepada hambaNya.
Dari Abu Hurairah RA, katanya, Rasululluh SAW telah bersabda:
” Allah azzawajjalla berfirman :”Setiap amal anak adam adalah untuknya kecuali puasa, puasa itu adalah untukKu dan aku akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu puasa, janganlah kamu rosak puasamu dengan mencela, dan menghina orang. Apabila kamu dihina atau dipukul orang. Katakanlah “aku puasa “. Demi Allah yang jiwa Muhammad di tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum disisi Allah pada hari kiamat kelak daripada bau kasturi. Dan bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya ” (Sahih Muslim)
Bagi membawakan perkongsian ilmu minggu ini , Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin membuka bicara rancangan Pesona D’ Zahra dengan mengajak para pendengar IKIMfm untuk melihat satu persatu deria-deria tersebut dan seterusnya memahami akan cara yang betul memeliharanya dari mengurangkan atau membatalkan ganjaran ibadah puasa.
Deria Mata. Pada bila-bila masa, dan terutamanya pada bulan ramadhan ini, umat Islam disuruh untuk menjaga pandangan mata. Kita dilarang memandang benda haram atau benda-benda makruh atau najis. Sebaliknya kita disuruh untuk memandang benda-benda yang luas contohnya: langit, bintang-bintang, lautan, alam yang kehijauan, dan juga selain itu melihat wajah ibu dan memandang wajah pasangan dengan pandangan kasih sayang maka Allah akan pula memandang mereka berdua dengan pandangan rahmat.
Turut menjadi penyejuk mata adalah dengan memandang perkara yang membawa ingatan kepada kekuasaan Allah SWT seperti Kaabah dan Al Quraan,
Deria Telinga. Selain menjaga pandangan, umat Islam juga diarah untuk sentiasa menjaga pendengaran. Kita disuruh untuk mendengar benda-benda yang baik contohnya ilmu yang disampaikan dalam majlis-majlis ilmu atau tazkirah, ini amat bermanfaat dan diberi ganjaran yang besar iaitu sebanyak 70 ribu malaikat mendoakan keampunan untuk mereka yang mendatangi majlis ilmu. Juga mendengar bacaan-bacaan Al Quraan adalah antara perkara yang terbaik untuk selalu kita dengari kerana ia akan menyuburkan jiwa menjadi pemilik jiwa yang tenang.
Kemudian beliau menjelaskan berlawanan dengan perkara yang baik didengari, perkara yang perlu dielakkan dan dilarang mendengarnya ialah kisah-kisah yang tidak berfaedah, perkataan yang melibatkan umpatan, perkara yang mengaibkan orang lain, fitnah serta benda yang melalaikan kerana ia boleh mengeraskan hati
Deria Hidung. Adalah tidak kurang pentingnya penjagaan yang baik bagi deria ini. Umat Islam disaran untuk menghiaskan diri, rumah, masjid dengan wangi-wangian. Ketika menjalani ibadah berpuasa, Ustaz Muhamad mengingatkan kita adalah Makruh hukumnya untuk memberus membasuh mulut selepas Zohor kerana tidak selesa dengan bau mulut, sedangkan bagi Allah ia adalah wangi di sisi-NYA kerana keikhlasan berpuasa kita.
Deria Rasa (Mulut)
Ada dua perkara yang perlu dipelihara ketika berpuasa mahupun ketika hari-hari biasa seorang Muslim dalam penjagaan deria rasa dan mulut ini. Pertama adalah menahan diri dari kebiasaannya untuk menjamah makanan pada siang hari. Dengan terhentinya makan melalui ibadah berpuasa ini, ia memberikan kegembiraan menikmati makanan ketika berbuka puasa. Inilah yang dikatakan tentang dua kegembiraan atau dua kenikmatan sepertimana hadis diatas iaitu kegembiraan ketika waktu berbuka puasa dan ketika bertemu dengan Allah membawa amalannya nanti.
Turut diingatkan adalah deria merasa sentuhan iaitu apa yang boleh dipegang oleh seseorang. Pastikan kita tidak mengambil atau membuat sesuatu yang dimurkai oleh Allah baik yang jelas haram hukumnya mahupun makruh dan syubhah bagi mendidik diri sentiasa bersikap jujur pada setiap masa.
Memahami salah satu matlamat difardukan puasa Ramadan adalah untuk menjana akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan yang sebenar kepada Allah Taala.
Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
Dan didalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati”. (Bukhari dan Muslim)
Pentingnya menjaga deria-deria diatas adalah kerana ianya membawa kita kepada matlamat puasa iaitu ketakwaan yang sebenar-benarnya. Melalui ketakwaan kita akan sentiasa mempunyai rasa diperhatikan Allah dalam setiap perbuatan. Maka dengan terpeliharanya anggota badan, yang menjadikan seseorang hamba itu seorang yang tenang hatinya, rasional fikirannya serta berhikmah dalam perlakuannya. Ini adalah pati bagi kejayaan untuk berjaya di dunia dan akhirat.
Semua ini adalah nikmat Allah yang perlu dipelihara dan dijaga daripada terlibat dengan kemungkaran dan maksiat kepada Allah s.w.t. Seandainya anggota ini disalahgunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah s.w.t., kita sebenarnya telah gagal untuk bersyukur.
No comments:
Post a Comment