Tuesday, August 07, 2018

Koleksi Tazkirah Pilihan 078

Rata-rata kita masih mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali. Berikut saya kongsikan tips berbuat baik terutamanya kepada ibu:
1) Sebagai anak, marilah kita bermuhasabah. Adakah kita telah melaksanakan langkah yang betul dalam berbakti kepada ibu atau kita masih mengabaikannya? Dengan bermuhasabah akan mendorong kita untuk menambah kebaikan dan kebaktian kepada ibu kita.
2) Yakinlah bahawa segala kebaikan yang kita curahkan kepada ibu akan kembali kepada kita. Anak-anak kita pula akan berbakti kepada kita pada masa akan datang.
3) Pohon reda dan doa ibu. Dengan itu ibu akan merasai betapa bernilainya reda dan restunya kepada diri anaknya dan betapa tinggi kedudukannya di sisi anaknya.
4) Berdoalah untuk ibu. Intailah waktu-waktu yang mustajab doa dan berdoalah secara berterusan.
5) Mintalah ibu mendoakan kita agar Allah SWT memberikan rezeki kepada kita untuk terus berbakti kepadanya.
6) Apabila ibu menghadapi masalah kesihatan, berusahalah balik menziarahinya dan sentiasa bersamanya dan sentiasa bertanya khabar tentangnya.
7) Berbanggalah dengan ibu pada semua tempat dan keadaan.
8. Utamakan ibu daripada segala kesibukan kita, kerja dan rakan-rakan kita.
Banyak lagi tips untuk berbuat baik kepada ibu tetapi memadailah setakat itu dahulu.
Hargailah setiap peluang selagi masih ada ibu atau bapa. Amat sayang bagi mereka yang telah ketiadaan ibu dan bapa, walaupun takdir Allah, terhalang dari mendapat kebaikan yang banyak iaitu berbakti kepada salah seorang atau kedua-duanya.
Kepada yang masih ada ibu terutamanya, rebutlah peluang ini sementara ibu masih ada. Rugi jika kita mensia-siakan peluang ini.
Ayuh, marilah kita perbaiki dan tingkatkan kebaktian kita kepada ibu kita sebelum terlambat.
Yamin Ismail
Masih ada ibu dan ayah


Baru-baru ini sewaktu saya bersalam dengan bapa bila nak balik ke Bangi, bapa berpesan, "Buatlah kerja elok-elok, tunaikan amanah, nanti tuhan balas dengan sebaik-baiknya."
"Buat kerja demi mencari akhirat, insya Allah, Allah akan cukupkan dunia kita. Walaupun tak mewah, tapi kita akan rasa cukup."
"Ingat, kebenaran mesti dijunjung walau apa orang kata. Tok sah kira apa orang kata. Ikut apa yang kita ngaji. Insya Allah, Allah tolong."
Begitulah nasihat bapa, melekat dan terus masuk dalam hati.
Saya pun cium tangan abah dan memeluknya erat-erat. Giliran ibu pula saya cium tangan dan pipinya kiri kanan.
Sangat berat rasanya nak berpisah dengan ibu bapa walaupun sudah merantau lebih 20 tahun.
Pesanan bapa itu masih terngiang-ngiang hingga kini.
Adakah saya beruntung kerana masih ada ibu dan bapa? Ya, saya sangat beruntung!
Sebab itulah saya telah menetapkan bahawa saya akan balik ziarah mereka sebulan sekali atau lebih awal.
Semoga Allah SWT merahmati Ibubapa saya, mengampun segala dosa mereka dan memasukkan mereka dalam syurgaNya di akhirat nanti.
Semoga apa juga kebaikan yang saya lakukan menjadi saham kebaikan kepada mereka di akhirat kelak.
Amin.
Yamin Ismail


Peringatan untuk kita semua. "Aku takut bahawa kehidupan akan melalaikan aku, sehinggakan aku terlupa kepada liang yang aku akan berada di dalamnya suatu hari nanti" (terjemahan ungkapan Arab).

KATA-KATA HIKMAH IMAM AL-GHAZALI
"Barangsiapa yang tidak dapat memelihara penglihatannya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga nafsunya."
"Barangsiapa yang tidak dapat menjaga nafsunya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga hatinya.
"Barangsiapa yang tidak dapat menjaga hatinya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga lidahnya."
"Barangsiapa yang tidak dapat menjaga lidahnya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga akhlaknya."
"Barangsiapa yang tidak dapat menjaga akhlaknya, nescaya ia tidak akan dapat menjaga agamanya."
"Barangsiapa yang tidak dapat menjaga agamanya, maka layaklah neraka ke atasnya."


BERZIKIRLAH SAMPAI MATI
Jalan yang dipercayai dan diyakini oleh para Salik yang dibimbing oleh para Sufi adalah terus istiqamah membersih hati dengan asma2 khusus agar cermin hati bersih dari bayangan akhyar (selain Allah).
Dalam Mawaqif al Bishri disebutkan bahawa AlIah swt. berfirman yang bermaksud:
”Jika kamu tidak melihat Aku, tetaplah menyebut nama-Ku. Lalu bila kamu melihat Aku, maka diamlah (hati bermuraqabah). Sesungguhnya Aku memerintahkan kamu menyebut nama-Ku tidak lain sebagai cara untuk engkau hadir bersama-Ku. Sesungguhnya nama-Ku tidak berpisah denganKu.”
-- Dari Kitab Imam Abdul Wahhab as Sya'arani, al Anwar al Qudsiyyah Fil Qawaid As Suffiyah.
Jalan paling pantas untuk menuju kepada Allah adalah berdzikir, kaedah ini diyakini oleh si Sufi (sufi bermaksud manusia yang sudah wushul kepada Allah).
Seperti yang dinukil oleh Sheikh Abdul Wahhab As Sya'arani dalam kitabnya diatas, berkata Sayyid Yusuf al-‘Ajami, seorang guru Silasilah, telah meriwayatkan dalam risalahnya hadis dengan sanadnya yang bersambung dari Ali bin Abu Talib r.a., dia berkata: ”Aku telah berkata: ’Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku jalan yang paling dekat, paling mudah dan paling utama bagi seorang hamba untuk menuju kepada Allah S.W.T.”
Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Ali, hendaklah kamu sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T. secara Sirri (dihati) mahupun jahri (dilidah).”
Saidina Ali kwj berkata: ”Setiap orang berzikir wahai Rasulullah, hanya yang aku inginkan agar engkau memberiku suatu amalan khusus.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Ali, kalimat yang terutama yang telah diucapkan olehku dan para Nabi sebelumku ialah ”La Ilaaha Illa Allah”. Kalau tujuh petala langit dan tujuh petala bumi ada di neraca timbangan dan ’La Ilaaha Illa Allah’ di neraca timbangan yang lain, tentu lebih berat ’La Ilaaha illa Allah’.”
Hadith ini juga dikuatkan dengan riwayat Ibn Hibban, al Hakim dan lainnya berupa marfu’, bahawa Nabi Musa a.s. telah berkata;
”Wahai Tuhanku, ajarkanlah padaku sesuatu di mana aku dapat mengingati-Mu dengannya dan aku dapat memohon kepada-Mu dengannya pula.”
Allah berfirman: ”Wahai Musa katakan: ’La Ilaaha Illa Allah’.” Musa berkata: ”Wahai Tuhan, semua sahabatku telah mengucapkan kalimat ini.”
Allah berfirman: ”Ucapkanlah: ’La Ilaaha Illa Allah’.” Musa berkata lagi:
”Wahai Tuhan, sesungguhnya aku ingin Engkau memberi kepadaku sesuatu yang teristimewa.”
Allah berfirman: ”Wahai Musa, jika sesungguhnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi berada di neraca timbangan dan ’La Ilaaha Illa Allah’ di neraca timbangan yang lain, tentu lebih berat ’La Ilaaha Illa Allah’.”
Berkata Sheikh Ali al-Murshiti r.h. : ”Tidak mungkin murid akan berhasil diberi sesuatu, dimana dalam hatinya dia masih menghadirkan sesuatu darl alam ini (selain Allah masih hadir dihatinya). Sesungguhnya keberhasilan itu hanya bagi orang yang telah menyaksikan Al-Haq Azza wa Jalla dengan hatinya serta ghaib dari sesuatu selain-Nya.
Jadi murid itu tidak boleh memutuskan majlis zikir apabila ia belum berhasil ghaib (fana) dari rasa wujud alam. Barangsiapa memutuskan hal ini sebelum dapat ghaib (fana), seolah-olah sedikit pun dia belum mengingati Allah S.W.T., seperti pohon yang tidak berbuah. Meskipun dengan itu dia tetap mendapatkan hasanat (kebaikan).
Oleh kerana itu al-Syibli r.h. berkata; ”Barangsiapa menyaksikan makhluk, bererti dia masih tidak melihat Al-Haq. Dan barangsiapa menyaksikan Al-Haq, tidak akan melihat makhluk kecuali orang yang sempurna.”


BAGAIMANA MENGATASI PANAS BARAN DAN EMOSI
Hati Memandang Allah; “Apabila seseorang itu telah sempurna syariatnya, maka dengan syariat itu menjadi perantaraan untuk meraih hakikat,apa itu hakikat, iaitu hati yang telah terbuka sehingga mengenali Allahسبحانه وتعالى mengapa ia sujud, apabila berbicara mengenai masjid ia tidak nampak masjid,tetapi apa yang disebalik masjid.”
“Jika ia berinteraksi dengan manusia ia tidak nampak manusia,hakikat siapa yang menggerakkan manusia itu yang ia sedang berinteraksi,hatta seseorang yang melakukan keburukan, tohmahan, celaan, cacian, interaksinya dengan orang yang melakukan tohmahan, yang menyakitinya, ia tidak terus marah atau melenting tetapi pandangannya siapa yang disebaliknya,yang menggerakkan.”
“Maka apabila ia melihat disebaliknya,ia akan menyikapi sesuatu itu dengan penuh adab, dengan akhlak,tanpa dengan emosi ,tanpa dengan kemarahan yang melulu dan tak tentu hala,kadangkala kemarahan dan panas baran tersebut menatijahkan sesuatu yang lebih buruk,sesuatu yang patut ditangani dengan penuh kelembutan, penuh kasih sayang dan penuh sistematik. Tetapi, oleh kerana panas baran,kepalanya tidak dapat bertindak dan berfikir dengan betul,ia menatijahkan sesuatu akhlak,interaksi yang buruk terhadap orang yang mentohmahnya,yang menyakiti kita.”
“Sebab itu,ulama tasawwuf mengatakan orang yang marah,panas baran,marah melulu pada orang lain ini,sebetulnya ia telah lupa pada Allah سبحانه وتعالى ia tidak nampak hakikat yang mengerakkan segala sesuatu adalah Allah سبحانه وتعالى hakikat yang mengerakkan sesuatu,yang mengerakkan lidah orang tersebut berkata mengenai kita, disebaliknya adalah Allah سبحانه وتعالى sebab itu pemaksiat ,pendosa, orang yang bermusuh dengan kita itu, kita tidak membenci orang tersebut.”
“Agama kita mengajar satu makna yang mendalam,dalam perhubungan kita dengan makhluk Allah ,kerna pada mata kasar kita,kita nampak dan sedang bergaul, muamalah, berinteraksi dengan makhluk, tapi pada erti kata yang sebenar hakikatnya kita sedang bermuamalah, berinteraksi dengan Allah سبحانه وتعالى kerna itu orang yang mencapai hakikat itu hatinya lembut,hatinya mudah memaafkan hatinya berakhlak dengan akhlak Allah سبحانه وتعالى dalam satu riwayat mengatakan hendaklah kamu berakhlak dengan akhlak Allah سبحانه وتعالى, sifat Allah سبحانه وتعالى penuh dengan rahmat, penuh dengan kasih sayang dan ianya telah dicurahkan kepada nabi Muhammadﷺ. Lalu dengan kesedaran hati yang mengasihi saudaranya yang lain, seseorang dapat berusaha membetulkan keadaan dgn cara yang berhikmah penuh bersangka baik, samada dgn berdiam diri, senyuman, memberi teguran, nasihat dan dakwah yang bijaksana serta doa yang tiada putus."
“Maka membaca kisah-kisah bagaimana nabiﷺ menzahirkan kerahmatan, kasih sayang, kelembutan, kemaafan kepada manusia ,ianya adalah satu kekuatan perpindahan kepada kita, ianya mampu memunculkan akhlak dalam diri kita ,kerna akhlak yang disebut tadi bukan sesuatu yang berada diluar kita hingga ia perlu ditransferkan, tidak.”
“Tetapi hakikatnya ia berada dalam diri kita,sifat sabar sifat pemaaf, kelembutan semuanya terpendam,ianya akan terkeluar apabila terkena pada tarbiyahnya, pada tazkiyyahnya, kadangkala ia mendapat kekuatan apabila mendengar kisah para sahabat Nabi ﷺ bagaimana akhlak para nabi, akhlak rasulullahﷺ ,maka ulama tasawwuf mengatakan kisah -kisah, akhlak -akhlak para wali ini, ianya adalah seumpama bala tentera daripada Allahسبحانه وتعالى untuk menguatkan hati manusia.”
Demikian adalah sekelumit dari makna al-Ihsan yang perlu dicapai oleh orang beriman, sabda Baginda saw "al-Ihsan itu adalah kamu menjadi hamba Allah seolah-olah kamu melihat Allah, jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu". (Muslim)


HAKIKAT SPM
"Puan, dah pernah ambil SPM?"
Tanya ustaz ketika di dalam kelas Taddabur Quran bulan lalu. Beliau yang dari depan menghampiri meja saya.
"Eh, mestilah sudah, ustaz. 20 tahun lepas"
Jawab saya yakin.
"Agak-agak kalau diberi peluang, nak ambil lagi sekali tak?"
Tanya ustaz lagi.
"Taknaklah ustaz"
Jawab saya ringkas. Dalam hati berkata sendiri, apalah yang ustaz nak terangkan tentang SPM ni.
Ustaz kembali ke depan memberikan penerangan.
"Hakikatnya, kita semua bakal menduduki SPM kedua. Bezanya, ujiannya adalah sepanjang kehidupan kita namun tarikh keputusannya kita tidak tahu. Jadi perlu sentiasa ada persediaan. Buku rujukannya sudah ada.
Itulah dia, Sijil Padang Mahsyar (SPM). Bila tarikhnya tidak diketahui. Buku rujukannya adalah Al Quran. Ujiannya sepanjang kita berada didunia. Keputusannya nanti apabila berlakunya akhirat yang kekal.
Semua yang di dalam kelas tertunduk. Seolah sedang membayangkan bagaimanalah keadaannya ketika mengambil keputusan SPM akhirat.
Ustaz menyambung lagi, kali ini dengan penerangan yang lebih menyentap.
"Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dunia ini nampak besar sangat sebab dengan keputusan baik, seolah-olah nampak cerah sangat masa depan untuk kehidupan yang sementara. Walhal tidak ada jaminan pun. Tetapi inilah yang dikejar-kejarkan.
Tapi keputusan yang kita dapat ketika Sijil Padang Mahsyar (SPM) di akhirat, adalah penentu kemana kita seterusnya selepas kehidupan yang kekal. Balasan syurga dan neraka yang kekal, tetapi kebanyakan kita tidak nampak itu semua.
Ibu bapa menyiapkan anak dengan segala segi persediaan untuk SPM dunia. Hantar anak tuisyen, panggil lagi guru datang kerumah, tak cukup dengan itu, hantar lagi bagaimana cara menjawab soalan yang betul.
Tapi apa usaha ibu bapa untuk persediaan anaknya untuk mendapatkan keputusan yang baik didalam SPM akhirat kelak?
Maksud Al Fatihah pun tidak tahu, bagaimana mereka dapat melaksanakan solat dengan sempurna, sedang solat adalah amalan yang memberikan markah yang tertinggi disana nanti"
Allahuakbar, kata-kata ustaz bagai satu pukulan ghaib, tidak nampak dengan mata kasar, tetapi sakitnya menyucuk sampai ke tulang hitam! Saya adalah guru. Yang pernah membawakan propaganda dengan mendapat keputusan SPM dunia yang baik, menjamin masa depan yang cerah!
Ustaz kemudiannya bertanya kami semua,
"Pernah tengok keadaan anak-anak yang ambil keputusan SPM? Masing-masing beratur dengan berdebar. Ahli keluarga ibu bapa semua tunggu di belakang. Menunggu giliran anak-anak, mengambil keputusan, baik atau tidak. Mereka tertanya adakah sama keputusan seperti adik beradik yang lain?
Nak tahu bagaimana keadaannya kita nanti mengambil keputusan SPM di akhirat?"
Al- Inshiqaq : 7
Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
Al-Inshiqaq : 8
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Al-Inshiqaq : 9
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
Al-Inshiqaq : 10
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
Al-Inshiqaq : 11
Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
Al-Inshiqaq : 12
Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
Al-Inshiqaq : 13
Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!
Al-Inshiqaq : 14
Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !
Al-Inshiqaq : 15
(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
*************
Kita marah anak-anak kita tidak baca dan faham isi kandungan buku kerana takutkan mereka gagal dalam peperiksaan. Namun kita tidak pernah marah mereka tidak baca dan faham Al Quran, walhal itulah yang menyelamatkan kita dari menjadi bahan bakaran api neraka.
Analoginya mudah, tak baca / faham buku, mana mungkin dapat keputusan peperiksaan dengan cemerlang. Tak baca / tak faham Al Quran, mana mungkin masuk syurga Allah dengan senang.
Oleh: Prof Ajmain (UTM)


ADAB TEGUR MENEGUR
Teringat saya pada satu kisah.
Pada suatu malam, rumah seorang lelaki kaya dimasuki perompak. Banyak hartanya yang hilang dan ahli keluarganya dicederakan, namun masih selamat.
Keesokan hari, seorang 'ustaz' datang menziarahinya. "Mungkin ini adalah balasan atas dosa-dosa kamu. Orang berharta sering lalai dengan hartanya, tidak membayar zakat, tidak mahu bersedekah, tidak memandang mereka yang fakir, kedekut dan asyik mengejar kekayaan. Tuhan mahu membersihkan harta-harta kamu. Dosa apa yang sudah kamu lakukan sehingga Tuhan membalasmu begini sekali? Bertaubatlah dan berhentilah melakukan dosa itu."
Orang kaya yang sedang bersedih itu bertambah sedih. Dia hanya mendiamkan diri dan tidak henti beristghfar sesungguh hati.
Apa yang si 'ustaz' tidak tahu ialah si kaya itu seorang yang dermawan, cuma dia tidak menghebahkannya. Dia membantu dan membangunkan sebuah perkampungan yang para penduduknya lebih dhaif dan susah. Dia juga membinakan masjid untuk mereka. Banyak lagi kebaikan dan ibadah lain yang dilakukan oleh si kaya tanpa memberitahu sesiapa mengenai aktivitinya itu termasuk kepada pembantu dan rakan-rakannya.
Si kaya hanya memberitahu beberapa aktiviti kebajikan dan sedekah yang dilakukannya kepada penduduk kampungnya sendiri. Penduduk kampungnya pula tidak sedhaif penduduk kampung yang dibantunya. Masjid di kampungnya besar dan dibangunkan atas derma ramai orang kaya di kampungnya juga. Ya, dia menderma sedikit sahaja. Itu pun kerana mahu menjaga hubungan baik dengan penduduk kampungnya.
Selesai men-tazkirah-kan si kaya, si 'ustaz' pulang ke rumah dengan perasaan 'tenang' kerana sudah menjalankan 'tanggungjawabnya untuk berdakwah' dan 'menyampaikan'.
Beberapa hari selepas itu, perompak yang merompak rumah si kaya berjaya ditangkap. Semua harta yang dirompak berjaya ditemui semula dan dikembalikan kepada si kaya. Ahli keluarganya juga sudah semakin sihat.
Si kaya meraikan kesyukurannya dengan mengadakan jamuan besar-besaran dan menjemput semua penduduk kampung. Dia juga mengadakan jamuan di perkampungan yang dibantunya.
"Syukurlah kamu sudah insaf," kata si 'ustaz' kepada si kaya.
"Terima kasih, ustaz, kerana mengingatkan aku," kata si kaya sambil tersenyum.
"Tak apa. Sudah menjadi tugas aku untuk 'berdakwah'," jawab si 'ustaz'.
Malam itu, rumah si 'ustaz' terbakar ketika mereka sekeluarga sedang tidur. Rumahnya habis hangus menjadi abu. Dia tinggal sehelai sepinggang dan seorang diri. Semua ahli keluarganya meninggal dunia.
Si 'ustaz' merintih. "Ya Tuhan, aku tahu ini ujian-Mu terhadap aku. Aku mahu redha, namun ujian ini terlalu berat untukku. Mengapa aku yang Kau pilih untuk menerima ujian ini?"
Tidak lama kemudian, si kaya menziarahi si alim.
"Aku tahu kau sedang bersedih dan aku tidak akan menambahkan kesedihanmu," kata si kaya. "Aku hanya mahu menyampaikan berita gembira kepadamu."
"Bagaimana pula kau boleh menyampaikan berita gembira ketika aku sedang bersedih?" kata si 'ustaz', jengkel.
"Aku akan membinakan rumah baru untukmu. Buat sementara waktu ini, kau tinggal sahaja di salah satu rumah sewa aku secara percuma sehingga rumah barumu siap. Aku juga sudah mengarahkan pembantuku untuk membawamu menyelesaikan banyak urusan terutama berkaitan dokumen yang sudah hangus. Dia juga akan membawamu membeli semua barang keperluanmu termasuk pakaianmu. Semua belanja itu dan perbelanjaanmu yang lain, akan aku tanggung," kata si kaya.
Si 'ustaz' terkejut dan terus memeluk si kaya. Dia tidak mampu berkata apa-apa kerana terlalu sedih dan terharu.
Pada masa yang sama, seorang 'alim' yang lain datang menziarahinya. Si kaya pun meminta diri dan meninggalkan mereka berdua.
Selepas bersalaman dan menyampaikan takziah, si 'alim' berkata, "Dosa apa yang sudah kamu lakukan sehingga Tuhan membalasmu begini sekali? Bertaubatlah dan berhentilah melakukan dosa itu."
Si 'ustaz' yang sedang kesedihan tersentak dan tersentap. Serta merta dia menoleh ke arah si kaya yang sedang berjalan pulang ke rumahnya. Dia teringat semula soalan yang ditanyanya kepada si kaya itu tempoh hari.
Si 'ustaz' menangis keinsafan apabila menyedari keterlanjuran kata-katanya kepada si kaya. Dalam keterlanjuran itu pun, Allah masih memelihara aibnya dengan mengilhamkan si kaya membantunya, tanpa si 'ustaz' perlu meminta-minta.
"Ya Allah, aku mohon ampun... Ketika aku sangka yang aku sedang berdakwah, rupa-rupanya aku sedang mengadili dan 'menghukum'nya. Ketika dakwahku seharusnya membawa berita gembira kepadanya yang sedang bersedih, ternyata aku hanya menambahkan kesedihannya. Aku sudah faham sekarang. Ampunkanlah aku. Jika ini adalah balasan-Mu terhadap keterlanjuranku, aku redha. Semoga Engkau mengizinkan aku kembali bertemu keluargaku di syurga."
Kawan-kawan.
Kesempitan, kesulitan, musibah, ujian atau apa sahaja kesusahan yang kita lihat sedang dilalui oleh seseorang itu, boleh jadi ujian ataupun balasan Tuhan kepadanya.
Boleh jadi itu ujian yang Allah beri kepadanya bagi menguatkan lagi iman dan pergantungannya kepada Allah.
Boleh jadi juga itu balasan yang Allah berikan kepadanya atas banyak kelalaian dan kesilapan dia kepada Allah.
Tidak perlu kita mengingatkannya yang itu adalah balasan Tuhan atas dosa-dosanya. Tidak perlu juga kita mengingatkannya tentang dosa-dosanya. Tuhan sendiri yang akan 'memberikan' ingatan itu kepadanya. Setiap hati manusia yang beriman pasti akan terdetik sendiri, selagi hatinya masih bersyahadah walaupun secebis.
Sebaliknya, kita pujuk dan senangkan hati mereka dengan mengingatkan mereka tentang kasih sayang Tuhan, yang Tuhan itu Maha Pengampun dan sentiasa akan 'mengejutkan' hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya melalui apa juga cara.
Ingatkan dia yang Tuhan sentiasa akan melepaskan hamba-hamba-Nya daripada apa saja kesulitan selagi kita kembali bergantung kepada-Nya, malah dikeluarkan kita daripada kesusahan melalui jalan yang tidak kita sangka, jika kita bertakwa.
Kita ini sama sahaja dengan mereka. Tidak ada beza langsung.
Lalu, siapa kita mahu menjatuhkan hukum dengan mengatakan 'itu balasan untuk kamu', sedangkan kita sendiri pun punya ujian sendiri yang kita juga tidak tahu apakah itu benar-benar ujian atau balasan Tuhan atas dosa-dosa kita?
Sama ada ujian ataupun balasan, semua itu adalah tanda kasih Allah kepada kita kerana Dia Maha Penyayang, Maha Mengasihani, Maha Menyintai.
Allah Maha Belas terhadap setiap makhluk-Nya walaupun dalam keadaan si makhluk yang kerap melupakan-Nya. Allah juga Maha Menghukum jika hamba-hamba-Nya masih berdegil dan tetap lalai serta berterusan melanggar setiap larangan-Nya supaya kita kembali mengingatinya.
Jika mahu mengingatkan juga, kita usaha pilih dan guna perkataan dan ayat-ayat yang lebih lembut dan tidak menghukum-hukum. Kita sendiri tidak suka diadili dan dihukum-hukum hanya berdasarkan apa yang orang nampak sedangkan banyak yang mereka tidak tahu tentang kita.
Tegur menegur. Ingat mengingati. Bukan mengadili dan bukan menghukum.
Hanya Allah yang memberi hidayah. Kita menyampaikan sahaja.
'Dakwah' itu ada pada akhlak dan kata-kata kita. Bukan pada hukuman dan amaran yang kita berikan kepada mereka.
Oleh :Hamba Allah


Setuju tak 1. Fokus kehidupan ialah mencari redha Allah, 2. Konsep kehidupan ialah memberi manfaat, 3. Tujuan kehidupan husnul khatimah. Bila tgk carta hidup kita tentu semua masaalah di dunia jadi kecil. Bila fikir akhirat dan Allah tentu tenang dan fokus kan?

No comments: