Tuesday, July 16, 2019

Koleksi Tazkirah Pilihan 104

Allah Punya Pelbagai Cara Untuk Menarik Kita Kembali Pada Dia

by  iLuvislam
8 days ago
214 Views
164
SHARES
Share
Tweet



“If you still have heart, then you can still write.” -quotes-

Agak lama rasanya jari ini tidak mencoretkan apa-apa. Mungkin kerana ketandusan idea, mungkin kerana sudah tiada rasa atau diri benar-benar sudah tidak tahu untuk menuliskan sesuatu. Futur.

Mungkin itu yang dirasakan sepanjang mendiamkan diri untuk masa yang lama ini.

La ta isu min rahmatillah
“Janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah.”

Dalam hidup ini ada masanya kita memang akan buntu untuk berbuat sesuatu.

Kita hilang arah. Kita tidak tahu untuk melangkah bagaimana. Kita lupa caranya untuk memulakan sesuatu.

Dan pada waktu ini, kita mula rasa bahawa kita telah jauh dari Allah. Kita mula rasa Allah sudah benci dan melupakan kita dan Dia sudah tidak peduli tentang kita.

Kerana Dia sanggup membiarkan kita sesat sendiri dalam kegelapan yang melenyapkan semua ketenangan yang pernah kita rasa.

Dan kita pula dengan egonya. Terus menjarakkan diri dengan Tuhan. Tanda protes.

“Sesungguhnya TuhanMu tidaklah meninggalkanmu dan tidak pula membenci kamu” (Surah Ad-Dhuha:3)

Sedangkan kita tidak tahu apa yang sedang Allah rencanakan. Kita lupa bahawa Allah tidak pernah silap.

Allah tidak pernah melakukan sesuatu melainkan dengan bersebab.

Teman, ingatlah Allah punya banyak cara untuk menarik kita kembali pada Dia. Ya, setiap apa yang berlaku semuanya diatur oleh Allah.

Untuk apa?

Untuk memimpin kita ke jalannya yang lurus. Untuk menyedarkan kita dari kealpaan yang membuatkan kita buta.



Untuk menguatkan kembali api semangat kita yang sudah malap supaya kembali berkobar dalam memperjuangkan agama Allah ini.

Maka pelbagai ujian, kesusahan dan musibah diberi. Supaya kita tidak terus terlena dalam ketenangan dunia yang sebenarnya memperdaya.

Persis sang pelayar, yang hampir lena dalam tenangnya lautan. Lalu Allah badaikan ombak besar menyedarkan dia dari kelalaian yang membuatkan kapalnya hampir musnah dan karam.

Sebenarnya, musibah ini adalah untuk mengingatkan kita kembali pada Illahi.



Sakit ini adalah untuk meruntuhkan ego agar kita mahu kembali menadah tangan memohon bantuan dari Rabbi.

Luka ini adalah untuk menyedarkan kita bahawa yang takkan pernah menyakiti hanya Dia yang satu.

Sunyi ini adalah bukti bahawa tiada yang akan kekal di sisi melainkan Rabbul Alamin.

Dia yang selalu setia ada untuk kita. Yang selalu dekat dengan kita. Yang sentiasa sudi mendengar rintihan hambanya.

Yang sentiasa akan membalut segala luka dan rabaknya kita. Cuma Allah.

Maka jangan putus asa dengan sedikit ujian yang melanda kerana ujian itu adalah hadiah mengikut bahasa TuhanMu.

Sabarlah hadapi apa pun. Kerana jauh lebih baik ujian yang mendekatkan kita pada Tuhan daripada kenikmatan yang membuatkan kita terus lalai.

Ingatlah kadangkala Allah menjatuhkan kita ke bawah hanya untuk melonjakkan kita ke tempat yang lebih tinggi.

Dan kadang, Allah memberikan kita ujian yang begitu berat kerana itu sahaja cara yang mampu membuat kita berpatah semula. Kembali pada Dia.

Dan mungkin saja itulah sebenarnya apa yang kita cari, iaitu ketenangan yang hakiki.

Ya muqallibal qulub, stabit qolbi ala dinik. Waa’la tho atiq

“Ya Allah yang membolak balikkan hati kami, tetapkanlah hati kami dalam agamaMu (Islam) dan dalam ketaatan kepadaMu.”

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati binti Zaharima





Setiap insan telah direkodkan ujian untuk menilai prestasi kehidupannya.

Bukan sekadar dengan menggunakan pensel atau pen dan kertas yang dinilai berapa markah di sekolah yang membezakan kita berada di kelas hadapan atau di belakang.

Tetapi ujian yang sebenar adalah di mana kita meletakkan Allah sebelum, semasa dan selepas diuji.

Ada orang masih tak tahu yang ujian hebat untuk orang yang hebat atau yang sangat menjaga hubungannya dengan Allah.

Cuba fahami ayat dalam Surah al-Taghabun: ayat 11,

‎مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ
إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ
شَيْءٍ عَلِيمٌ

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Tips menghadapi ujian dalam kehidupan;

1. Yakinlah bahawa ujian itu merupakan ekspresi cinta Allah pada hamba-Nya.





2. Semakin besar dan banyak cubaan yang Allah turunkan kepada kita, makin besar pula pahala dan sayang Allah yang akan dilimpahkan kepada kita.

3. Ujian itu akan menghapuskan dosa-dosa yang pernah kita kerjakan.

4. Selalulah untuk berfikir positif.

5. Setelah kesulitan, maka akan ada kemudahan.

6. Selalu optimistik bahawa kita boleh menyelesaikan setiap ujian hidup yang Allah berikan.

7. Hadapi ujian hidup dengan usaha dan doa.

Manusia memang diciptakan untuk diuji. Cinta Allah buat hambaNya langsung tak pernah lari cuma kita yang sering menjauhkan diri dari meraih cinta Ilahi.

Berlapang dada lah. Ada hikmah dan ganjarannya buat mereka yang sering diduga kehidupannya.











3 Langkah Berkesan Untuk Menghadapi Ujian Allah

by  iLuvislam
2 years ago
11.5k Views
206
SHARES
Share
Tweet



Ujian merupakan dugaan yang Allah S.W.T turunkan untuk menguji sejauh mana kekuatan iman hamba-hambaNya.

Ujian diturunkan dalam dua jenis sama ada kesusahan ataupun kesenangan.

Contoh bagi kesusahan adalah seperti sakit, ditimpa musibah dan sebagainya manakala bagi bentuk kesenangan pula seperti kekayaan, dikurniakan anak yang cerdik dan lain-lain.

Sememangnya dugaan berbentuk kesenangan adalah untuk melihat sejauh mana manusia bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga. Nikmat kesusahan pula diberikan untuk Allah meninggikan darjat iman seseorang itu.

Allah S.W.T. menurunkan dugaan kesusahan kerana merindui seseorang itu. Mungkin kerana faktor kesibukan kerja, seseorang itu telah terkurang ibadatnya. Jadi, Allah S.W.T. merinduinya untuk beribadat.

Atas dasar itulah Allah S.W.T. menurunkan ujian kepadanya supaya dia berdoa dan merayu kepada Allah agar dipermudahkan jalan penyelesaian buat ujian yang dihadapinya.

Hanya orang kuat akan diduga oleh Allah S.W.T. Harus juga diingat bahawa segala ujian yang Allah S.W.T. berikan juga hanyalah mengikut kemampuan seseorang itu.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 mafhumnya: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya, dia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…”

Melalui ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa ujian yang diturunkan kepada kita itu tidaklah terlalu berat sehingga kita tidak mampu untuk memikulnya. Allah Maha adil. Allah sesekali tidak akan membebankan hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka hadapi.

Namun, realitinya pada hari ini amat menyedihkan. Tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar memahami konsep ujian yang Allah S.W.T. turunkan ini. Kebanyakannya berpendapat ujian Allah ini sebagai satu seksaan kepada mereka.

Ini jelas sekali bertentangan dengan konsep ujian daripada Allah. Ujian sebenarnya merupakan satu peluang kepada kita untuk ditingkatkan darjat di sisi Allah.

Ramai juga yang mengeluh setiap kali ditimpa ujian. Malah, lebih teruk ada yang sehingga mencaci-maki tatkala merasakan bebanan ujian itu terlalu berat untuk dihadapi.

Kadangkala, ujian itu tidak seberat mana. Namun, oleh kerana terlalu banyak mengeluh, jalan penyelesaian untuk sesuatu ujian itu menjadi kabur.

Sewajarnya sebagai seorang yang beriman, kita bertenang dan berdoa kepada Allah supaya ujian yang diberikan kepada kita itu mudah.

Di sini saya akan kongsikan beberapa langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi ujian Allah. Hal ini demi memastikan kita dapat menerima ujian itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya mengeluh serta mengaku kalah.

Antara langkah tersebut ialah:

Sabar

Sabar itu separuh daripada iman. Terdapat satu kata pujangga yang sangat menarik untuk didengari berkaitan dengan sabar iaitu ’orang yang kuat adalah orang yang mampu sabar dan menahan marahnya.’

Ini sememangnya benar. Tidak semua manusia mampu bersabar. Apabila mendapat sesuatu masalah atau musibah, kita lebih suka mengeluh daripada bersabar.



Sifat sabar itu sememangnya nampak mudah tetapi amat sukar untuk kita milikinya. Sebagai contoh, kita dibuli oleh seseorang. Adakah kita ingin bersabar ataupun membalas perbuatannya itu?



Apabila datangnya situasi begini, amat sukarlah untuk kita menguasai sifat sabar itu. Oleh yang demikian, kuasailah sifat sabar ini dalam diri. Sentiasalah bersabar apabila diduga oleh Allah.

Nescaya Allah akan memberikan lebih ganjaran kepada kita berkat kesabaran yang dimiliki itu.

Berfikiran Positif

Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran kita sendiri ataupun dipanggil mindset. Tetapkanlah di dalam minda bahawa setiap ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisiNya.

Yakinlah juga bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya suatu hikmah. Sentiasalah berfikiran positif ketika menghadapi ujian Allah.

Sebagai contoh, jika kita diuji dengan kesakitan sehingga menyebabkan kita tidak dapat pergi ke tempat kerja. Hikmahnya ialah mungkin diri kita perlukan rehat setelah terlalu sibuk bekerja. Masa ini juga boleh kita gunakan untuk beribadat kepada Allah S.W.T.

Terdapat juga tanggapan tentang konsep ujian di mana ada yang menyatakan bahawa ujian ini merupakan kifarah dosa ataupun balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan sebelum ini. Hal ini betul, tetapi tidak semestinya.

Jika diteliti pada sirah Nabi Muhammad S.A.W., Baginda turut diturunkan dengan pelbagai ujian malah lebih berat daripada ujian yang ditimpakan kepada kita pada hari ini. Adakah kerana Baginda berdosa? Tidak sama sekali.

Rasulullah S.A.W. adalah maksum, iaitu terpelihara daripada dosa dan telah dijanjikan syurga kepadanya.

Beristighfar

Sebaik sahaja sedar kita ditimpa ujian, beristighfarlah dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya dengan beristighfar dapat menenangkan sedikit hati yang sedang lara.

Tidak dinafikan, berat sekali mulut kita untuk beristighfar ketika ditimpa ujian, malah mulut kita lebih ringan untuk mengungkap kata-kata kesat bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.

Cubalah yang terbaik untuk beristighfar. Andai kata terlalu sukar, mulakanlah dengan menyebut nama Allah setiap kali kita ditimpa masalah.

Biasakan diri berbuat begitu sehinggalah diri kita sudah terbiasa. Yakinlah bahawa setiap masalah yang kita hadapi itu ada penyelesaiannya.

Allah inginkan kita untuk berusaha demi menyelesaikan permasalahan tersebut. Setiap usaha yang kita jalankan juga telah dijanjikan pahala oleh Allah.

******

Kesimpulannya, Allah S.W.T. menurunkan ujian bukanlah untuk membebankan manusia tetapi untuk meningkatkan darjat mereka.

Setinggi mana pun tahap ujian yang kita terima sememangnya ada hikmah yang terlindung di sebaliknya.

Jangan sesekali berputus asa atas dugaan yang diterima.

Sebaliknya, tanamkanlah dalam fikiran bahawa ujian yang diterima itu hanyalah sekadar kemampuan diri dan bertujuan meninggikan lagi darjat kita di sisi Allah S.W.T.


Depresi : Kamu Bukan Ingin Mati, Tapi Ingin Kesakitan Diakhiri

by  iLuvislam
7 months ago
3.4k Views
1.2k
SHARES
Share
Tweet



Bangun pagi. Hati rasa hiba. Rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Sedih. Tapi tak tahu kenapa.

Sakitnya dalam dada. Sesak. Terlerai juga air mata. Belum puas menangis, waktu berlalu pantas. Dengan hati yang kosong, rutin harian diteruskan. Melangkah longlai, tubuh dibawa tanpa jiwa.

Segalanya kelihatan tak bermakna. Hobi yang dinikmati dahulu sudah tidak menarik pada pandangan mata. Badan rasa lelah sentiasa. Jasad ingin tidur selama-lamanya. Penat dengan dunia. Rasa ingin lari menjauhi semua – termasuk teman dan keluarga.

“Cukuplah aku membebankan mereka selama ini.”

“Hidup mereka pasti lebih bahagia tanpaku.”

Itulah penangan lohong hitam depresi. Puncanya? Pelbagai. Ia terlalu rumit untuk disandarkan kepada satu punca tertentu.

Stres melampau, kebimbangan berterusan dan ketidak seimbangan kandungan kimia dalam badan merupakan antara penyebab masalah ini.

Namun, masyarakat seringkali menuduh golongan yang mengalami depresi ini sebagai lemah iman dan daya tahan.

“Ni mesti tak jaga hubungan dengan Allah. Baca Quran tak setiap hari? Tajwid betul tak?”

“Masalah kau kecil. Aku boleh lalui, takkan kau tak boleh?”

Kebanyakan daripada kita lupa, depresi tidak mengenal sesiapa. Ahli ibadah turut tidak terlepas dari masalah ini. Faktor persekitaran juga mempengaruhi kemampuan setiap orang mengatasi masalah.

Contohnya, kemampuan anak-anak yang mendapat sokongan ibu bapa dengan anak-anak yang didera pasti berbeza. Anak yang dihargai akan mempunyai keyakinan diri mendepani masalah manakala anak yang didera akan berasa dirinya lemah dan tidak berguna.

Masyarakat kita begitu cepat menghukum seolah-olah dia tahu segala-galanya tentang kisah hidup orang lain – sedangkan lalat yang terbang di belakang kepalanya pun dia tak nampak. Akibatnya, golongan yang kemurungan ini lebih rela menyendiri daripada dihakimi.

Bagi temanku yang mengalami depresi dan pernah terfikir untuk bunuh diri, ingatlah, kamu tidak keseorangan. Aku tidak tahu apa yang menyakiti jiwamu, tapi aku percaya kamu mampu.

Tiada siapa patut terseksa seperti ini. Abaikan mereka yang menghakimi, kerana Dia tahu apa yang sedang kamu lalui,

“(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).”

(Surah Ad-Dhuha: 3)

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah Al-Baqarah: 155)

Temanku, sekat segala fikiran negatif daripada syaitan yang ingin kamu berputus asa dengan diri sendiri dan rahmat tuhan. Mereka bahagia melihat kamu derita.





Bertahan. Sesungguhnya Dia dekat.

“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.”

(Surah Az-Zumar : 53)

“Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

(Surah Al-Baqarah : 214)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.”

(Surah al-Baqarah: 45)

Sahabatku, kesakitanmu pasti berakhir. Hidup hanya sekali dan mati itu pasti. Biarlah ia berakhir tanpa penyesalan tidak berkesudahan. Allah sentiasa ada dan Dia tidak berputus asa denganmu. Justeru, percayalah akan diri sendiri.

Andai kamu benar-benar berputus asa dengan kehidupan, ingatlah sabda ini;

لا يَتمنَّينَّ أحدُكمُ الموتَ مِن ضُرٍّ أصابَهُ، فإن كانَ لا بدَّ فاعِلًا، فليقُلْ اللَّهُمَّ أحيِني ما كانتِ الحياةُ خَيرًا لي، وتوفَّني إذا كانتِ الوفاةُ خَيرًا لي

Maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’!”

Riwayat al-Bukhari, no. 5671, dan al-Nasa’i, no. 1820.

Saudaraku sayang, ingatlah. Cara terbaik untuk menamatkan kehidupan adalah dengan bersedia untuknya.

Persiapkan diri kita dengan jiwa yang tenang dan penuh keredhaan. Moga kita termasuk dalam golongan ini;

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”

(Al-Fajr 27-30)

Akhir sekali, aku ingin berkongsi kata-kata seorang ilmuan,

“Berapa banyak orang yang memakai baju di waktu pagi, yang melepaskan bajunya adalah orang lain di waktu dhuha ketika dia telah menutup mata meninggal dunia. Berapa ramai orang yang memakai sepatu di waktu siang, orang lain yang melepaskannya di waktu petang ketika dia telah menuju ke Alam Barzakh. Tiada batasan yang lebih tipis antara batas hidup dan mati. Dunia tempat kita meninggal bukan tempat untuk kita tinggal.”

Bertahan. Sikit sahaja lagi.



Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Haura Aisyah.

No comments: