Tuesday, August 22, 2017

Tazkirah Pilihan 23 ogos

JANGAN SESEKALI MENINGGALKAN CAHAYA YANG DIBAWA OLEH BAGINDA RASULULLAH ﷺ
Disebutkan di dalam sebuah hadis sahih Bukhari yang diriwayatkan oleh Saidina Anas Bin Malik Radhiyallahu'Anhu. Beliau mengatakan bahawa "Tiada hari yang lebih terang yang kami alami di Madinah ini kecuali hari di mana Nabi ﷺ tiba kepada kami yakni pada peristiwa Hijrah.
Dan tidaklah ada hari yang lebih gelap yang kami alami di Madinah ini selain hari wafatnya Baginda Nabi ﷺ." Disebutkan pada hari wafatnya Nabi ﷺ maka gelaplah seluruh alam pada ketika itu.
Disebutkan di dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, Imam Thabrani dan Abu Nuim. Berkata Utsman Bin Abil Ash Radhiyallahu'Anhu. "Sesungguhnya ibu aku telah menyaksikan Aminah Radhiyallahu'Anha melahirkan Nabi Muhammad ﷺ.
Maka berkatalah ibuku menceritakan apa yang berlaku ketika menyaksikan kelahiran Nabi ﷺ ketika beliau bersama Sayyidah Aminah.
Ketika malam itu aku (Ibu Utsman) melihat bilik Sayyidah Aminah berada dalam keadaan yang diselubungi dengan cahaya dan aku melihat ke langit seolah-olah bintang-bintang menghampiri kepada rumah ini. Maknanya untuk menunjukkan bukan sahaja cahaya berada di dalam rumah. Akan tetapi juga berhampiran kepada langit.
Maka ketika Sayyidah Aminah melahirkan Nabi ﷺ seolah-olah keluar daripada rahim Aminah itu cahaya. Dan cahaya itu telah menerangi bilik itu sehingga aku tidak dapat melihat apa-apa pun kecualilah cahaya.
Diriwayatkan ketika ibu Nabi Muhammad ﷺ yakni Sayyidah Aminah Binti Wahab mengatakan "Ketika aku melahirkannya (Nabi Muhammad ﷺ) yang aku lihat keluar adalah cahaya.
Cahaya itu amat terang menerangi sehingga ia dapat menerangi dan dapat melihat istana-istana Syam dan bayi yang keluar itu dalam keadaan bersih. Tiada kekotoran padanya.
Tidak sepertimana yang biasa yang ada pada bayi-bayi yang baru lahir yakni darah, tali pusat dan sebagainya. Nabi ﷺ dilahirkan dalam keadaan bersih sebersih-bersihnya dan Nabi ﷺ menggenggam jari-jari tangannya sambil jari telunjuk menunjukkan isyarat tauhid dan apabila Baginda ﷺ duduk seolah-olah dalam keadaan bersujud."
Disebutkan di dalam riwayat yang lainnya ketika Nabi ﷺ dilahirkan. Baginda ﷺ dalam keadaan sudah berkhatan.
Guru kita Syeikh Feras Salou Ad-Dimasyqi Hafidzohullah mengatakan "Kalau kita melihat kembali kepada kisah-kisah yang disebutkan mengenai Nabi Muhammad ﷺ.
Disebutkan dalam kisah-kisah itu kebanyakan semuanya adalah mengenai nur yakni cahaya.
Keluar cahaya, datangnya cahaya, sebagai cahaya dan sebagainya. Jadi kenapa? Ini adalah kerana syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ
sebenarnya adalah nur (cahaya) bagi kita semua ini yang membawa cahaya kepada kita.
Dan barangsiapa yang meninggalkan salah satu daripada kewajipan, kefardhuan yang ada di dalam syariat ini ataupun dia meninggalkan sesuatu perkara sunnah dalam syariat ini ataupun dia meninggalkan sesuatu perkara kebaikan yang terdapat dalam syariat ini.
Maka sebenarnya dia telah meninggalkan cahaya yang dibawa oleh Nabi Muhamad ﷺ. Oleh kerana Itu, janganlah kita menjadi orang-orang yang rugi yang mana tidak mahu mengambil cahaya yang dibawa oleh Baginda Rasulullah ﷺ dengan tidak menjaga daripada perkara-perkara yang fardhu dan tidak ingin melaksanakan daripada perkara-perkara yang sunnah ataupun kita tidak ingin berbuat baik ataupun menyebarkan kebaikan, memberikan manfaat kepada orang lain.
Mutiara Kata SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH



AKIBAT MENGUJI KEILMUAN GURU : TERTIMPA PADAH, HILANGNYA BARAKAH
Al-Imam Abu Muhammad ar-Ramahurmuzi dalam kitabnya al-Muhaddith al-Fasil meriwayatkan kisah Yahya bin Sa’id al-Qattan dan rakan-rakannya menemui Muhammad bin ‘Ajlan, seorang tokoh besar hadith yang berasal dari Madinah.
Yahya al-Qattan datang ke Kufah bersama-sama Hafs bin Ghiyath, Malih bin Waki’ dan Yusuf as-Samati. Pada masa yang sama Ibn ‘Ajlan juga berada di bandar tersebut. Yahya mencadangkan agar mereka mengunjungi Ibn ‘Ajlan dan cadangannya diterima. Namun Yusuf as-Samati mencadangkan agar mereka mencipta suatu ‘perangkap’ untuk melihat sejauh mana kehandalan dan ketepatan hafalan Ibn ‘Ajlan dalam hadith.
Yusuf mencadangkan agar apabila membaca sanad : [Sa’id al-Maqburi dari Abu Hurairah] mereka mengubahnya menjadi [Sa’id al-Maqburi dari Ayahnya dari Abu Hurairah]
Manakala sanad : [Sa’id al-Maqburi dari Ayahnya dari Abu Hurairah] mereka mengubahnya menjadi [Sa’id al-Maqburi dari Abu Hurairah]
*Nota : Sa’id al-Maqburi memang meriwayatkan dari Ayahnya (Kaisan) dari Abu Hurairah, namun beliau sempat juga meriwayatkan secara terus dari Abu Hurairah tanpa perantaraan ayahnya. Di sinilah mereka ingin menguji keilmuan Ibn ‘Ajlan sama ada beliau dapat membezakan hadith-hadith yang Sa’id al-Maqburi riwayatkan secara terus daripada Abu Hurairah dan yang melalui perantaraan ayahnya.*
Mendengar perancangan ini, Yahya menzahirkan ketidaksetujuannya namun rakan-rakannya berdegil dengan ‘perangkap’ tersebut.
Mereka berempat pun datang menemui Ibn ‘Ajlan dan membaca sejumlah hadith dari sebuah kitab. Apabila kitab tersebut selesai dibacakan kepada Ibn ‘Ajlan, beliau berkata, “Setiap hadith Sa’id dari Abu Hurairah, ditukar menjadi Sa’id dari Ayahnya dari Abu Hurairah. Manakala setiap hadith Sa’id dari Ayahnya dari Abu Hurairah, ditukar menjadi Sa’id dari Abu Hurairah.”
Ibn ‘Ajlan memandang Yusuf dan berkata, “Jika tujuan engkau ialah untuk menghina dan mengaibkan aku, semoga Allah sia-siakan Islam engkau.”
Ibn ‘Ajlan berkata kepada Hafs, “Semoga Allah menimpakan bala ke atas agama dan dunia engkau.”
Kepada Malih, beliau berkata, “Semoga Allah mensia-siakan ilmu engkau.”
Yahya al-Qattan merekodkan bahawa Malih meninggal dunia sebelum ilmunya sempat dimanfaatkan (oleh dirinya dan manusia) manakala Hafs menderita sakit lumpuh badan, dan Yusuf meninggal dunia dalam keadaan dituduh sebagai seorang zindiq.
Pengajaran:
1. Penuntut ilmu seharusnya memanfaatkan keberadaan ulama di mana-mana saja, dengan mengunjungi mereka seterusnya mengadakan majlis ilmu dengan mereka, seperti yang dilakukan Yahya al-Qattan dan rakan-rakannya apabila mengetahui Ibn ‘Ajlan berada di Kufah.
2. Perbuatan murid mencipta ‘perangkap’ dan helah dengan tujuan menguji keilmuan guru walhal guru tersebut merupakan tokoh yang diperakui dalam bidangnya, merupakan suatu tindakan biadap dan tidak berfaedah, seperti yang dilakukan oleh Yusuf as-Samati, Malik bin Waki’ dan Hafs bin Ghiyath. Perbuatan sebegini menghilangkan keikhlasan dan menjauhkan keberkatan daripada hidup penuntut ilmu.
3. Penuntut ilmu seharusnya bersifat tawadhu’ di hadapan gurunya, bukannya perasan bijak hingga menganggap dirinya sudah layak menguji keilmuan gurunya sendiri.
4. Seorang murid yang ikhlas hendaklah menjauhi sebarang perilaku ‘memerangkap ‘ gurunya sendiri, sebagaimana Yahya al-Qattan yang tidak menyetujui dan tidak menguji Ibn ‘Ajlan sebagaimana tiga orang rakannya.
5. Doa para alim ulama dan para salihin secara umumnya sangat mustajab, justeru para penuntut ilmu seharusnya mengelakkan diri daripada terkena doa keburukan dari mereka, sebagaimana yang menimpa 3 rakan Yahya al-Qattan di akhir hayat.
6. Ibn ‘Ajlan selaku tokoh hadith yang terbilang dan diiktiraf memang menyedari bahawa 3 orang tersebut sedang mengujinya, dan beliau juga sedar yang Yahya al-Qattan tidak memasang ‘perangkap’ yang sama, justeru beliau mendoakan keburukan hanya untuk 3 orang tersebut dan tidak kepada Yahya.
7. Para ulama tidak memerlukan peingktirafan daripada murid-muridnya, seseorang itu diangkat sebagai ulama dengan pengiktirafan oleh para ulama lain. Tugas para murid ialah mengakui kepakaran para ulama, seterusnya memanfaatkan keilmuan mereka dalam usaha mendalami agama Allah.

No comments: