Memaafkan orang yang menyakitimu itu adalah ADIL.
Memaafkan, menyantuni serta mendoakan kebaikan kepada mereka yang menyakitimu, itu adalah IHSAN.
Untuk menjadi seorang yang adil, ihsan serta pemaaf, sifat SABAR adalah kuncinya.
Benarlah, sabar itu adalah sifat yang sangat dituntut dan penentu kebahagiaan insan.
SALING MEMAAFKAN DALAM ISLAM
1. Memaafkan kesalahan seseorang adalah tanda orang yang bertakwa. Wajib memberi maaf jika telah diminta dan lebih baik lagi memaafkan meskipun tidak diminta.
2. Sifat ‘tak kenal maaf’ atau ‘tiada maaf bagimu’ adalah sifat syaitan. Ia akan membawa keretakan dan kerosakan dalam pergaulan bermasyarakat. Masyarakat aman damai akan terwujud jika anggota masyarakat itu memiliki sikap pemaaf dan mengerti bahwa manusia tidak terlepas dari pada silap dan salah.
3. Imam Al-Ghazali memberi panduan bagi memadamkan api kemarahan dan melahirkan sifat pemaaf. Apabila marah hendaklah mengucap “A’uzubillahiminassyaitanirrajim”(aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam).
4. Mudah memaafkan, penyayang terhadap sesama Muslim dan lapang dada terhadap kesalahan orang merupakan amal soleh yang keutamaannya besar dan sangat dianjurkan dalam Islam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perbuatan baik, serta berpisahlah dari orang-orang yang bodoh." (Surah Al-A'raf, Ayat 199)
5. Rasulullah SAW secara khsusus menggambarkan besarnya keutamaan dan pahala sifat mudah memaafkan di sisi Allah. Baginda SAW bersabda yang bermaksud : “Tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat)”
6. Maksud bertambahnya kemuliaan orang yang pemaaf di dunia adalah dengan dia dimuliakan dan diagungkan di hati manusia kerana sifatnya yang mudah memaafkan orang lain, sedangkan di akhirat dengan besarnya ganjaran pahala dan keutamaan di sisi Allah SWT.
Wallahuaalam.
Oleh : Ustaz Hj Anuar Kassim
ADAB KETIKA KITA KUNJUNG MENGUNJUNG
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam.
(Hadis riwayat Ahmad)
Antara adab berkunjung bukan saja pada hari raya, malah pada bila-bila masa adalah:
1. Meminta izin dan memberi salam.
Jika salam pertama tidak dijawab, ulangi tiga kali. Jika masih tiada jawapan, beredar dengan hati lapang tanpa menyimpan prasangka buruk terhadap tuan rumah.
Dalam hadis sahih, Abu Musa berkata, dia mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar.
2. Tidak berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri menghadap ke arah lain. Jadikan pintu berada di sebelah kanan atau kiri. Hal ini untuk mengelak pengunjung terpandang aurat tuan rumah atau terpandang sesuatu yang tidak elok apabila pintu dibuka. (Rujuk hadis riwayat Abu Daud daripada Abdullah bin Basyar)
3. Jangan menyusah dan menyulitkan tuan rumah.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Syuraih bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: Tidak halal bagi seseorang Muslim tinggal di rumah saudaranya hingga menyebabkan dia berdosa.
Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana dia boleh menyebabkan sahabatnya berdosa? Baginda menjawab: Dia tinggal di rumah saudaranya sedangkan saudaranya itu tidak ada sesuatu pun untuk dihidangkan kepadanya.
Jadi, jika hendak bertandang, jangan tinggal lebih tiga hari atau ketika saudara berada dalam kesempitan.
4. Bermanis muka serta jauhi perkataan haram dan sia-sia.
Daripada Abu Zarr katanya, Rasulullah berkata kepadaku: Jangan engkau perkecilkan perkara yang baik itu walaupun sedikit, termasuk bertemu saudaramu dengan wajah ceria. (Hadis riwayat Muslim)
5. Segera beredar apabila tujuan kedatangan sudah terlaksana.
Dalam ayat berikut, Allah mengajar sahabat adab berkunjung ke rumah Nabi Muhammad yang wajar dicontohi. Firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian selepas kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi hingga dia berasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedangkan Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. (Surah al-Ahzab, ayat 53)
6. Jaga batas pergaulan khususnya dengan isteri tuan rumah (bagi tetamu lelaki).
Firman Allah bermaksud: Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka daripada sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.(Surah al-Ahzab, ayat 53)
Jika ingin melihat orang Islam, datanglah ke masjid pada solat hari raya..
Tapi..
Jika ingin melihat orang yang beriman.. datanglah ke masjid pada waktu solat fardhu subuh...
Itulah nisbah antara orang Islam dengan orang beriman.
Renung-renungkanlah selagi Allah masih memberi ruang untuk kita menghirup udara yang bersih tanpa dikenakan sebarang bayaran.... ~Dr. Hamka~
Antara yang paling terkesan dengan perginya Bulan Ramadan adalah, MASJID.
No comments:
Post a Comment